Apr 12, 2026 - FASSelangor FC meraih satu mata selepas keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC dalam perlawanan ke-22 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Selangor menguasai permainan sejak awal dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi Faisal Halim, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Fergus Tierney menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian. Walau bagaimanapun, skuad Merah Kuning terus mendominasi perlawanan dengan tekanan berterusan dan mencipta banyak peluang. Antara perlawanan yang cukup mendebarkan namun berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, kecewa tidak dapat berikan tiga mata kepada para penyokong dan gesa pasukan untuk terus perbaiki diri.
“Secara jujurnya, sangat kecewa dan bagi pihak pasukan, saya memohon maaf kepada para penyokong. Kita tidak sepatutnya tercicir tetapi itulah yang berlaku. Penyokong datang dengan harapan yang tinggi dan kita gagal memenuhinya. Kita telah berusaha sedaya upaya, tetapi kita memberi mereka peluang dan gagal memanfaatkan kelebihan yang ada. Sepatutnya, kita lebih tegas menjaringkan gol lebih awal dan mengawal permainan, namun kami tidak berjaya melakukannya. Dengan baki tiga perlawanan, pasukan akan terus berusaha mencapai sasaran, dan dalam masa yang sama perbaiki pelbagai aspek langkah demi langkah,” tegas beliau.
Minggu hadapan, skuad Selangor FC akan terbang ke negeri Sarawak bagi menghadapi perlawanan Separuh Akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 yang akan berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada 18 April jam 8:15 malam.
Bagi para penyokong yang tidak dapat hadir dan terbang ke Sarawak bersama pasukan, kelab mengadakan tayangan langsung di Suasana Market Hall bermula jam 7 malam. Ayuh, sama-sama menyokong pasukan tidak kira di mana anda berada!
Pihak pengurusan Selangor FC juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada 3,477 penyokong atas sokongan padu anda untuk pasukan dalam perlawanan semalam.
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Mohammad Abualnadi, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Syahir Bashah, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes & Vitor Pernambuco.
Pertukaran: 64’ Noor Al Rawabdeh > Alvin Fortes, 64’ Mukhairi Ajmal > Syahir Bashah, 80’ Kim Ji-ho > Nooa Laine, 80 Fazly Mazlan > Mohammad Abualnadi.